Friday, July 20, 2012

Paradoks Masa


Metafora "Paradoks Masa" sering dikaitkan dengan perdebatan hangat antara saintis mengenai isu merentas, bagaimana manusia cuba melawan hukum alam untuk merentasi halangan konkrit entiti tersebut. Jika ingin dikupas isu ini lebih lanjut, perlu saya perkenalkan terlebih dahulu mengenai teori alam sejajar, atau lebih dikenali sebagai parallel world. Teori ini mengatakan tentang wujudnya infiniti dimensi-dimensi lain yang dalam semesta yang tidak terbatas.

Manifestasi alam sejajar

Cukuplah dengan kisah alam sejajar kerana bukan ini isu yang ingin saya ketengahkan pada kali ini. Topik yang ingin saya sampaikan ialah kesan "Paradoks Masa" pada  individu. Keliru?

Fitrah manusia bersua masa, yang ada hanya jalan sehala iaitu meniti dari semasa ke semasa. Dalam usaha melangkah ke hadapan, di sinilah paradoks tersebut memainkan peranan, sebagaimana yang kita tahu untuk maju ke hadapan semamangnya memerlukan keberanian, dan keberanian tersebut digugat oleh masa silam.

Mendengar cerita dari seorang taulan membuat saya terfikir sejenak. Begini kisah yang dikhabarkan : 

Hidup di negara asing,pernah pada suatu hari beliau terjumpa satu prospektus tentang kem ilmiah yang dianjurkan di kawasan berdekatan yang akan berlangsung selama beberapa hari, dan peserta akan menetap di kediaman yang disediakan pihak penganjur. Selama beberapa hari tersebut, peserta boleh menghadiri forum-forum dan perkongsian pengalaman dari mereka yang terdahulu berada di negara tersebut untuk dikongsi bersama. Sememangnya menarik didengar. Tanpa ragu-ragu beliau ingin pulang ke rumah untuk mendaftar. Dalam perjalan, terjumpa seorang sahabat. Merasakan peluang tersebut wajar dikongsi dengan orang ramai, diajak sahabatnya untuk sama-sama menyertai kem tersebut. Namun, jawapan yang diterima agak mengecewakan.

Berkata sahabat tersebut, "Takpelah. Aku ni solat pun tunggang-langgang. Aurat lagi entah ke mana. Mana layak nak join kuliah-kuliah agama ni."

Selesai mendengar kisahnya, saya terfikir sejenak. Menjadi lazim pelajar luar negara jika diajak ke majlis agama, hati terasa berat kerana khuatir "dicuci" menjadi ekstremis. Juga dengan sekali pandang, kem tersebut kelihatan berunsur keagamaan. Mungkin topik ini mampu dibincangkan di lain hari, kerana apa yang ingin saya fokuskan ialah pada alasan yang diberi. Rata-rata apabila berdalih, secara sedar atau tidak,  menggambarkan mentaliti kita sendiri.

Sukar dinafikan, alasan-alasan yang sewaktu dengannya sering kita dengar, terutamanya apabila melibatkan majlis ilmiah mahupun berunsur keagamaan. Kekerapan persepsi tersebut kian menjadi lali dalam kehidupan seharian. Pernahkah kita terfikir mengapa alasan-alasan sebegini kerap diutarakan?

Premis 1 : "Nak pakai tudung nanti kena maintain terus. Hati aku tak cukup baik lagi."

Premis 2 : "Kuliah maghrib? Takpelah, aku bukan faham pun apa yang mereka bincangkan. Aku kan budak jahat."

Premis 3 : "Tunggu solat tunai aku mantap, baru boleh ikut kau ke masjid, naik pangkat jadi makmum pulak."

Premis 4 : "Nabi cakap kalau hari ini lebih teruk dari semalam kita termasuk dalam golongan yang zalim. Kalau aku pergi hari ini, lepas tu tiba-tiba esok lusa aku tak pergi macam mana?"

Bagaimana pula reaksi anda?
Sememangnya menghairankan. Menolak bukan atas dasar tidak mengetahui atau kesempitan masa, tetapi atas dasar diri itu pernah berdosa. Kejahilan bukan faktor sama sekali. Tanyakan saja pada mereka, lebih-lebih lagi di Malaysia, dengan kempen-kempen seperti "Ayuh ke masjid" dan "Mari menutup aurat" pernah dijalankan, undang-undang ketat di sekolah, boleh dikatakan mustahil andai kiranya ada seorang muslimin atau muslimah yang tidak mengetahui wajibnya solat fardhu, wajibnya menutup aurat, untungnya solat berjemaah dan untungnya mengikuti majlis ilmu. 

Majoriti percaya akan pentingnya istiqamah dan nilai ini bukan mudah digapai. Hanya hati yang terlatih mampu mengekalkan konsistensi. Tiada sesiapa yang mencari sekadar Insaf Ekspress. Namun tidakkah kita lupakan sesuatu? Tanpa permulaan, tidak akan ada kesinambungan. Menunggu hidayah atau lebih dikenali dengan "sampai seru", bakal tibakah ia tanpa sebarang ikhtiar?

Kendatipun hidup dalam kefasikan, sedarkah anda peluang masih luas terbentang? Dengan setiap satu kebaikan membawa kemungkinan untuk membuka hati dan mata. Wajarkah semua itu dilepaskan begitu sahaja hanya kerana pada suatu ketika dahulu kita pernah melakukan kesilapan? Tiada manusia sempurna, itu satu fakta. Jika setiap individu dibelenggu bayang-bayang silam, kita akan melihat masa depan yang suram. Sejarah adalah untuk mengajar kita, bukan menyekat.
"Those who cannot remember the past are condemned to repeat it." (George Santayana, The Life of Reason, Volume 1, 1905)
"Aku jadi alim, solat kat masjid? Mustahil!"
Bagi yang masih ragu-ragu dengan potensi mereka untuk berubah, kita boleh mengambil contoh dari orang lain. Pernah pada satu ketika hangat diperkatan dalam media mengenai kisah bekas warga dunia hiburan, Bob Lokman dan Sham Kamikaze yang sememangnya tidak asing. Mereka telah membuktikan perubahan itu tidak mustahil.

Mungkin terdapat segelintir yang kurang mempercayai cerita mereka. Hati manusia siapa yang tahu. Mungkin semua itu cuma suatu yang diuar-uarkan. Bagi mereka yang memerlukan contoh yang lebih konkrit. Kita mengimbau kembali sejarah pada tahun 581-644. Kenalkah kalian akan Saidina Umar Al-Khattab?

"Suatu ketika waktu, Saidina Umar al-Khattab dilihat bersendirian sambil menangis dan kemudian dilihat ketawa.

Orang bertanya: "Kenapa dengan engkau wahai Amirul Mu’minin?"

Umar Al-Khattab menjawab: "Aku menangis, kerana aku teringat bahawa, ketika di zaman jahiliyyah, aku menanam anak perempuanku hidup-hidup. Yang membuatkan aku hiba, adalah ketika kuletakkan anak perempuanku ke dalam lubang untuk ditanam, dia menyapu janggutku yang terkena debu pasir. Tetapi aku sedikit pun mempunyai perasaan belas kasihan ketika itu, lantas terus menanamnya hidup-hidup hingga habis."

"Maka apakah yang membuatkan engkau ketawa pula wahai Umar?"

"Aku teringat dahulu, ketika hendak berniaga ke syam, aku akan membawa berhala yang dibuat dari tamar(kurma), agar mudah disembah di tengah perjalanan. Tetapi, apabila aku terasa lapar, aku akan mengopek berhala itu, dan memakannya. Itu membuatkan aku ketawa."

Itulah Saidina Umar Al-Khattab, Khulafa Ar-Rasyidin ketiga. Dalamilah sirah nabi dan para sahabat, dan lihatlah perubahan drastik beliau yang pada awalnya merupakan salah seorang yang ingin membunuh Rasulullah pada zaman permulaan Islam, kepada tokoh agung sehingga diberi kepercayaan untuk memimpin umat Islam dengan gelaran Amirul Mukminin yang membawa maksud pemimpin orang-orang mukmin. Sekarang, adakah kita masih merasakan premis-premis yang saya kemukakan di atas masih sah?  

Akhir kata, saya lampirkan satu hadis sebagai motivasi.
Dari Abi Hurairah r.a, dari Rasulullah s.a.w berkata : Kamu akan dapati manusia itu seperti logam (himpunan berjenis besi-besi), baiknya mereka di waktu Jahiliyyah, baik juga mereka di waktu Islam, sekiranya mereka faquh (faham). (Riwayat Bukhari dan Muslim)

No comments:

Post a Comment