Friday, July 20, 2012

Paradoks Masa


Metafora "Paradoks Masa" sering dikaitkan dengan perdebatan hangat antara saintis mengenai isu merentas, bagaimana manusia cuba melawan hukum alam untuk merentasi halangan konkrit entiti tersebut. Jika ingin dikupas isu ini lebih lanjut, perlu saya perkenalkan terlebih dahulu mengenai teori alam sejajar, atau lebih dikenali sebagai parallel world. Teori ini mengatakan tentang wujudnya infiniti dimensi-dimensi lain yang dalam semesta yang tidak terbatas.

Manifestasi alam sejajar

Cukuplah dengan kisah alam sejajar kerana bukan ini isu yang ingin saya ketengahkan pada kali ini. Topik yang ingin saya sampaikan ialah kesan "Paradoks Masa" pada  individu. Keliru?

Fitrah manusia bersua masa, yang ada hanya jalan sehala iaitu meniti dari semasa ke semasa. Dalam usaha melangkah ke hadapan, di sinilah paradoks tersebut memainkan peranan, sebagaimana yang kita tahu untuk maju ke hadapan semamangnya memerlukan keberanian, dan keberanian tersebut digugat oleh masa silam.

Mendengar cerita dari seorang taulan membuat saya terfikir sejenak. Begini kisah yang dikhabarkan : 

Hidup di negara asing,pernah pada suatu hari beliau terjumpa satu prospektus tentang kem ilmiah yang dianjurkan di kawasan berdekatan yang akan berlangsung selama beberapa hari, dan peserta akan menetap di kediaman yang disediakan pihak penganjur. Selama beberapa hari tersebut, peserta boleh menghadiri forum-forum dan perkongsian pengalaman dari mereka yang terdahulu berada di negara tersebut untuk dikongsi bersama. Sememangnya menarik didengar. Tanpa ragu-ragu beliau ingin pulang ke rumah untuk mendaftar. Dalam perjalan, terjumpa seorang sahabat. Merasakan peluang tersebut wajar dikongsi dengan orang ramai, diajak sahabatnya untuk sama-sama menyertai kem tersebut. Namun, jawapan yang diterima agak mengecewakan.

Berkata sahabat tersebut, "Takpelah. Aku ni solat pun tunggang-langgang. Aurat lagi entah ke mana. Mana layak nak join kuliah-kuliah agama ni."

Selesai mendengar kisahnya, saya terfikir sejenak. Menjadi lazim pelajar luar negara jika diajak ke majlis agama, hati terasa berat kerana khuatir "dicuci" menjadi ekstremis. Juga dengan sekali pandang, kem tersebut kelihatan berunsur keagamaan. Mungkin topik ini mampu dibincangkan di lain hari, kerana apa yang ingin saya fokuskan ialah pada alasan yang diberi. Rata-rata apabila berdalih, secara sedar atau tidak,  menggambarkan mentaliti kita sendiri.

Sukar dinafikan, alasan-alasan yang sewaktu dengannya sering kita dengar, terutamanya apabila melibatkan majlis ilmiah mahupun berunsur keagamaan. Kekerapan persepsi tersebut kian menjadi lali dalam kehidupan seharian. Pernahkah kita terfikir mengapa alasan-alasan sebegini kerap diutarakan?

Premis 1 : "Nak pakai tudung nanti kena maintain terus. Hati aku tak cukup baik lagi."

Premis 2 : "Kuliah maghrib? Takpelah, aku bukan faham pun apa yang mereka bincangkan. Aku kan budak jahat."

Premis 3 : "Tunggu solat tunai aku mantap, baru boleh ikut kau ke masjid, naik pangkat jadi makmum pulak."

Premis 4 : "Nabi cakap kalau hari ini lebih teruk dari semalam kita termasuk dalam golongan yang zalim. Kalau aku pergi hari ini, lepas tu tiba-tiba esok lusa aku tak pergi macam mana?"

Bagaimana pula reaksi anda?
Sememangnya menghairankan. Menolak bukan atas dasar tidak mengetahui atau kesempitan masa, tetapi atas dasar diri itu pernah berdosa. Kejahilan bukan faktor sama sekali. Tanyakan saja pada mereka, lebih-lebih lagi di Malaysia, dengan kempen-kempen seperti "Ayuh ke masjid" dan "Mari menutup aurat" pernah dijalankan, undang-undang ketat di sekolah, boleh dikatakan mustahil andai kiranya ada seorang muslimin atau muslimah yang tidak mengetahui wajibnya solat fardhu, wajibnya menutup aurat, untungnya solat berjemaah dan untungnya mengikuti majlis ilmu. 

Majoriti percaya akan pentingnya istiqamah dan nilai ini bukan mudah digapai. Hanya hati yang terlatih mampu mengekalkan konsistensi. Tiada sesiapa yang mencari sekadar Insaf Ekspress. Namun tidakkah kita lupakan sesuatu? Tanpa permulaan, tidak akan ada kesinambungan. Menunggu hidayah atau lebih dikenali dengan "sampai seru", bakal tibakah ia tanpa sebarang ikhtiar?

Kendatipun hidup dalam kefasikan, sedarkah anda peluang masih luas terbentang? Dengan setiap satu kebaikan membawa kemungkinan untuk membuka hati dan mata. Wajarkah semua itu dilepaskan begitu sahaja hanya kerana pada suatu ketika dahulu kita pernah melakukan kesilapan? Tiada manusia sempurna, itu satu fakta. Jika setiap individu dibelenggu bayang-bayang silam, kita akan melihat masa depan yang suram. Sejarah adalah untuk mengajar kita, bukan menyekat.
"Those who cannot remember the past are condemned to repeat it." (George Santayana, The Life of Reason, Volume 1, 1905)
"Aku jadi alim, solat kat masjid? Mustahil!"
Bagi yang masih ragu-ragu dengan potensi mereka untuk berubah, kita boleh mengambil contoh dari orang lain. Pernah pada satu ketika hangat diperkatan dalam media mengenai kisah bekas warga dunia hiburan, Bob Lokman dan Sham Kamikaze yang sememangnya tidak asing. Mereka telah membuktikan perubahan itu tidak mustahil.

Mungkin terdapat segelintir yang kurang mempercayai cerita mereka. Hati manusia siapa yang tahu. Mungkin semua itu cuma suatu yang diuar-uarkan. Bagi mereka yang memerlukan contoh yang lebih konkrit. Kita mengimbau kembali sejarah pada tahun 581-644. Kenalkah kalian akan Saidina Umar Al-Khattab?

"Suatu ketika waktu, Saidina Umar al-Khattab dilihat bersendirian sambil menangis dan kemudian dilihat ketawa.

Orang bertanya: "Kenapa dengan engkau wahai Amirul Mu’minin?"

Umar Al-Khattab menjawab: "Aku menangis, kerana aku teringat bahawa, ketika di zaman jahiliyyah, aku menanam anak perempuanku hidup-hidup. Yang membuatkan aku hiba, adalah ketika kuletakkan anak perempuanku ke dalam lubang untuk ditanam, dia menyapu janggutku yang terkena debu pasir. Tetapi aku sedikit pun mempunyai perasaan belas kasihan ketika itu, lantas terus menanamnya hidup-hidup hingga habis."

"Maka apakah yang membuatkan engkau ketawa pula wahai Umar?"

"Aku teringat dahulu, ketika hendak berniaga ke syam, aku akan membawa berhala yang dibuat dari tamar(kurma), agar mudah disembah di tengah perjalanan. Tetapi, apabila aku terasa lapar, aku akan mengopek berhala itu, dan memakannya. Itu membuatkan aku ketawa."

Itulah Saidina Umar Al-Khattab, Khulafa Ar-Rasyidin ketiga. Dalamilah sirah nabi dan para sahabat, dan lihatlah perubahan drastik beliau yang pada awalnya merupakan salah seorang yang ingin membunuh Rasulullah pada zaman permulaan Islam, kepada tokoh agung sehingga diberi kepercayaan untuk memimpin umat Islam dengan gelaran Amirul Mukminin yang membawa maksud pemimpin orang-orang mukmin. Sekarang, adakah kita masih merasakan premis-premis yang saya kemukakan di atas masih sah?  

Akhir kata, saya lampirkan satu hadis sebagai motivasi.
Dari Abi Hurairah r.a, dari Rasulullah s.a.w berkata : Kamu akan dapati manusia itu seperti logam (himpunan berjenis besi-besi), baiknya mereka di waktu Jahiliyyah, baik juga mereka di waktu Islam, sekiranya mereka faquh (faham). (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sunday, November 6, 2011

Cermin Itsar


Prelude:




Apa kena-mengena video di atas sengan isu yang saya cuba sampaikan? Sebelum saya mulakan penerangan saya, kita mulakan dengan satu simulasi. Bayangkan anda sedang merayau berada di bawah terik matahari dan kehausan. Di tangan anda terdapat RM 1, sekadar cukup untuk membeli segelas air untuk menghilangkan dahaga. Tiba-tiba, anda terlihat sebuah tabung untuk membangunkan masjid, dan jika anda menghulurkan wang di tangan anda ke dalam tabung tersebut bermakna anda terpaksa menahan kehausan sehingga anda pulang ke rumah. Apakah reaksi anda?

Premis 1 :  "Mana boleh tahan haus ni. Baik aku beli air untuk diri aku."
Premis 2 : "Alah, tabung derma ni belum tentu guna untuk masjid. Aku sekarang conform perlukan air."
Premis 3 : "Baik aku sedekah. Mudah-mudahan akan digunakan sebaik-baiknya."

Perlu saya ingatkan terlebih dahulu bahawa pilihan-pilihan di atas sememangnya tidak menggambarkan siapa anda sebenarnya, memandangkan ini bukan satu ujian psikologi. Saya akan kupas lebih lanjut tetapi sebelum itu, saya ingin berkongsi satu hasil lakaran yang saya terjumpa.


Bagaimana? Kagum, terkesima atau hipokrasi semata-mata?

Itsar, salah satu nilai jati diri yang telah baginda Rasulullah kenalkan kepada kita. Dari segi bahasa, itsar bermaksud mendahulukan kepentingan orang lain. Sejarah telah membuktikan bagaimana sifat itsar telah membantu dalam pembinaan tamadun Islam, seperti peristiwa hijrah, kes dimana warga Madinah menyambut dan membantu warga Mekah yang tiba sehelai sepinggang, sungguhpun kuasa ekonomi mereka sendiri tidak cukup selesa. Bercerita tentang sejarah, ingin saya kisahkan satu peristiwa yang pernah saya terbaca ketika saya kecil dahulu :


"Perang Yarmuk, mengisahkan pertempuran antara tentera muslimin dan kerajaan Byzantine tanggal Jamadilakhir 13 Hijrah (ada pendapat yang mengatakan Rejab 15 Hijrah). Di akhir pertempuran telah terbaring tiga mujahid muslim dalam keadaan kritikal akibat luka hebat yang mereka alami, menanti seruan syahid. Tiga mujahid itu adalah Harits bin Hisyam, Ayyasy bin Abi Rabiah, dan Ikrimah bin Abu Jahal.


Harits bin Hisyam dengan suara lirih terbata-bata meminta air minum. Ketika air didekatkan ke mulutnya, ia melihat di sebelahnya dan ada Ikrimah dalam keadaan seperti yang ia alami. “Berikan dulu air ini kepada Ikrimah!” ujar Harits. Lalu orang yang membawakan air menuju Ikrimah. Ketika air didekatkan ke mulut Ikrimah, ia melihat Ayyasy dalam keadaan kritikal juga maka ia berkata “Berikan dulu kepada Ayyasy!” ujar Ikrimah.



Ketika air minum didekatkan ke mulut Ayyasy, dia telah meninggal. Innalillahi wainna ilaihi ra’jiun. Orang yang memberikan air minum segera kembali ke hadapan Harits dan Ikrimah, namun keduanya pun telah meninggal."



Inilah itsar teragung dalam rentetan sejarah kehidupan manusia sepanjang masa. Dalam keadaan sakaratul maut masih memikirkan keperluan saudaranya. Hal ini mustahil terjadi jika mereka tidak saling mencintai kerana Allah. Cinta yang mereka tunjukkan adalah mencintai kerana Allah. Inilah hakikat cinta yang sebenar.

"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelengkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." (Sumber : Al-Hujurat : 10)
Tanyakan saja pada sesiapa, pasti majoriti tahu akan kebenaran yang dinyatakan dalam surah tersebut. Saya pasti, anda juga tahu akan kebenaran tersebut. Namun, berapa ramai antara kita yang betul-betul mengamalkannya? Pengorbanan bukan hanya tertakluk kepada harta beribu ringgit dan nyawa. Sekadar berkongsi sebuku roti dengan sahabat yang kelaparan juga memadai. 

Pernah saya terbaca sebuah buku mengenai cerita peribahasa melayu dan terdapat satu yang begitu menarik minat saya. "Bala lalu dibawa bersinggah," membawa maksud sering membawa kesusahan kepada diri sendiri. Apa yang menarik minat saya ialah cerita yang dikaitkan dengan peribahasa tersebut, mengenai seorang pemuda kelas sederhana yang sudah berkeluarga dan dikisahkan pemuda tersebut sering membantu orang lain sungguhpun tidak mengenali mereka, dan dikatakan sifat 'baik hati'nya itu sering dipergunakan oleh orang lain.

Apa yang ingin saya ungkapkan di sini ialah bagaimana persepsi masyarakat terhadap itsar. Mengenepikan kepentingan sendiri kadang-kala dianggap bodoh dan tolol, memandangkan era kita hidup masa kini penuh dengan tipu daya. Ada pendapat yang mengatakan rasa pentingkan diri merupakan satu mekanisme semula jadi manusia sebagai survival instinct.
"Selfish ; it is normal, natural and a pure survival instinct to think of our own needs first. When one person calls someone else selfish it suggests to me that they do not understand emotional needs, nature and survival." (The Selfish Gene : Richard Dawkins)
Terdapat juga pendapat yang saya temui dalam "The Biology of Selfishness" yang mengatakan sifat pentingkan diri sebagai naluri kemandirian hanya sekadar alasan bagi menutup aspek 'hitam' tersebut.

Sedang perdebatan tersebut masih belum menemui jawapan mutlak, bagaimana pula pendapat anda? Tambahan pula kini kita dihujani media dan sumber-sumber yang semakin mengenepikan itsar. Lihat saja drama-drama di televisyen, pertelingkahan di sana-sini. Pergelutan kuasa kian berleluasa, bahkan memutuskan silaturahim. Isu perebutan harta pusaka juga tidak lekang dari telinga. Lebih menakutkan lagi, terdapat juga buku-buku yang menyamarkan rasa pentingkan diri atas dakwaan 'mengutamakan kebahagiaan sendiri terlebih dahulu', terutamanya novel-novel cinta. Sambil menabur benih cinta, klausa-klausa sebegini sering disalah anggap sebagai nasihat motivasi. 

Sesungguhnya nilai mencorakkan manusia, manusia mencorakkan masyarakat, dan masyarakat mencorakkan tamadun. Sifat dan siapa anda pada hari esok akan menentukan masa depan negara, bahkan dunia. Bagaimanakah suasana 50 tahun akan datang? Adakah ketamadunan manusia hidup sejahtera, atau penuh dengan tikaman dari belakang. Orang tua-tua sering menyebut : cerminlah diri sendiri. Maka, melihat refleksi di sebalik cermin itsar, siapakah anda?

Friday, October 7, 2011

Prolog

As-salam,

Jagad Khayalku? Perkataan jagad sebenarnya merupakan sinonim kepada dunia. Dunia khayalan, tempat untuk lari dan sembunyi dari realiti. Kedengaran seperti seorang yang tidak ingin berpijak di bumi nyata. Kerana kadang-kala saya merasa sedih, mengapa dunia yang saya diami boleh boleh menjadi sebegini rupa. Kadang-kala saya cuba membandingkan marcapada dengan kehidupan zaman kegemilangan Islam suatu ketika dahulu. Saat semua anak muda menyahut seruan jihad tanpa ragu, saat setiap orang sanggup membantu mereka yang memerlukan walaupun dengan kemampuan kewangan mereka yang rendah dan saat isu membuang bayi yang bermula dari zaman jahiliah hilang sama sekali. Transformasi yang begitu drastik seperti ini kadang-kala membuat saya keliru. Dimana silapnya? Lari dari realiti buat sedetik dua memberi saya ruang untuk berfikir dan analisis, cuba mencari punca mengapa semua ini berlaku.

Setelah sekian lama, muncul pula hasrat untuk cuba mengetengahkan pendapat saya. Melihat respon dan berkongsi pendapat mereka yang lain. Melalui titian sejarah saya dapat melihat bagaimana penulisan karya minda-minda yang hebat suatu ketika dulu telah memberi inspirasi kepada saya. Dengan nama pena Bintang Siarah, saya berharap bakal karya-karya saya dapat memberi sedikit sumbangan yang boleh mengubah realiti dunia, walaupun sedikit. Objektif utama saya bukan untuk sekadar menyatakan suatu benda itu betul atau salah, wajib atau haram, obligasi atau larangan, tetapi untu menggerakkan minda para pembaca (jika ada, terima kasih kerana sudi membaca karangan panjang berjela sebegini rupa :) ) untuk berfikir dan menganalisis sendiri.

"Jika dunia memerlukan revolusi, mulakan dengan revolusi pemikiran."

Saya tidak mampu menjanjikan update yang kerap, memandangkan tuntutan masa seorang pelajar sangat tinggi, tetapi saya akan berusaha untuk mem-publish buah fikiran yang berjaya ditukar kepada manuskrip (proses memverbalkan hasil pemikiran bukan mudah :) ) secepat mungkin. Memandangkan ini merupakan kali pertama saya menulis blog, sememangnya kecenderungan untuk membuat kesilapan adalah tinggi. Maka, sebarang idea dan kritikan yang membina adalah dialu-alukan.

Akhir kata, saya ingin selitkan satu petikan kata dari Bung Karno:
"Berikan aku 1000 orang tua, nescaya akan kucabut semeru dari akarnya, berikan aku 1 pemuda, nescaya akan kuguncangkan dunia." 
(Sumber : http://haxims.blogspot.com/2011/04/kata-kata-mutiara-dari-seorang-bung.html)