Sunday, November 6, 2011

Cermin Itsar


Prelude:




Apa kena-mengena video di atas sengan isu yang saya cuba sampaikan? Sebelum saya mulakan penerangan saya, kita mulakan dengan satu simulasi. Bayangkan anda sedang merayau berada di bawah terik matahari dan kehausan. Di tangan anda terdapat RM 1, sekadar cukup untuk membeli segelas air untuk menghilangkan dahaga. Tiba-tiba, anda terlihat sebuah tabung untuk membangunkan masjid, dan jika anda menghulurkan wang di tangan anda ke dalam tabung tersebut bermakna anda terpaksa menahan kehausan sehingga anda pulang ke rumah. Apakah reaksi anda?

Premis 1 :  "Mana boleh tahan haus ni. Baik aku beli air untuk diri aku."
Premis 2 : "Alah, tabung derma ni belum tentu guna untuk masjid. Aku sekarang conform perlukan air."
Premis 3 : "Baik aku sedekah. Mudah-mudahan akan digunakan sebaik-baiknya."

Perlu saya ingatkan terlebih dahulu bahawa pilihan-pilihan di atas sememangnya tidak menggambarkan siapa anda sebenarnya, memandangkan ini bukan satu ujian psikologi. Saya akan kupas lebih lanjut tetapi sebelum itu, saya ingin berkongsi satu hasil lakaran yang saya terjumpa.


Bagaimana? Kagum, terkesima atau hipokrasi semata-mata?

Itsar, salah satu nilai jati diri yang telah baginda Rasulullah kenalkan kepada kita. Dari segi bahasa, itsar bermaksud mendahulukan kepentingan orang lain. Sejarah telah membuktikan bagaimana sifat itsar telah membantu dalam pembinaan tamadun Islam, seperti peristiwa hijrah, kes dimana warga Madinah menyambut dan membantu warga Mekah yang tiba sehelai sepinggang, sungguhpun kuasa ekonomi mereka sendiri tidak cukup selesa. Bercerita tentang sejarah, ingin saya kisahkan satu peristiwa yang pernah saya terbaca ketika saya kecil dahulu :


"Perang Yarmuk, mengisahkan pertempuran antara tentera muslimin dan kerajaan Byzantine tanggal Jamadilakhir 13 Hijrah (ada pendapat yang mengatakan Rejab 15 Hijrah). Di akhir pertempuran telah terbaring tiga mujahid muslim dalam keadaan kritikal akibat luka hebat yang mereka alami, menanti seruan syahid. Tiga mujahid itu adalah Harits bin Hisyam, Ayyasy bin Abi Rabiah, dan Ikrimah bin Abu Jahal.


Harits bin Hisyam dengan suara lirih terbata-bata meminta air minum. Ketika air didekatkan ke mulutnya, ia melihat di sebelahnya dan ada Ikrimah dalam keadaan seperti yang ia alami. “Berikan dulu air ini kepada Ikrimah!” ujar Harits. Lalu orang yang membawakan air menuju Ikrimah. Ketika air didekatkan ke mulut Ikrimah, ia melihat Ayyasy dalam keadaan kritikal juga maka ia berkata “Berikan dulu kepada Ayyasy!” ujar Ikrimah.



Ketika air minum didekatkan ke mulut Ayyasy, dia telah meninggal. Innalillahi wainna ilaihi ra’jiun. Orang yang memberikan air minum segera kembali ke hadapan Harits dan Ikrimah, namun keduanya pun telah meninggal."



Inilah itsar teragung dalam rentetan sejarah kehidupan manusia sepanjang masa. Dalam keadaan sakaratul maut masih memikirkan keperluan saudaranya. Hal ini mustahil terjadi jika mereka tidak saling mencintai kerana Allah. Cinta yang mereka tunjukkan adalah mencintai kerana Allah. Inilah hakikat cinta yang sebenar.

"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelengkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." (Sumber : Al-Hujurat : 10)
Tanyakan saja pada sesiapa, pasti majoriti tahu akan kebenaran yang dinyatakan dalam surah tersebut. Saya pasti, anda juga tahu akan kebenaran tersebut. Namun, berapa ramai antara kita yang betul-betul mengamalkannya? Pengorbanan bukan hanya tertakluk kepada harta beribu ringgit dan nyawa. Sekadar berkongsi sebuku roti dengan sahabat yang kelaparan juga memadai. 

Pernah saya terbaca sebuah buku mengenai cerita peribahasa melayu dan terdapat satu yang begitu menarik minat saya. "Bala lalu dibawa bersinggah," membawa maksud sering membawa kesusahan kepada diri sendiri. Apa yang menarik minat saya ialah cerita yang dikaitkan dengan peribahasa tersebut, mengenai seorang pemuda kelas sederhana yang sudah berkeluarga dan dikisahkan pemuda tersebut sering membantu orang lain sungguhpun tidak mengenali mereka, dan dikatakan sifat 'baik hati'nya itu sering dipergunakan oleh orang lain.

Apa yang ingin saya ungkapkan di sini ialah bagaimana persepsi masyarakat terhadap itsar. Mengenepikan kepentingan sendiri kadang-kala dianggap bodoh dan tolol, memandangkan era kita hidup masa kini penuh dengan tipu daya. Ada pendapat yang mengatakan rasa pentingkan diri merupakan satu mekanisme semula jadi manusia sebagai survival instinct.
"Selfish ; it is normal, natural and a pure survival instinct to think of our own needs first. When one person calls someone else selfish it suggests to me that they do not understand emotional needs, nature and survival." (The Selfish Gene : Richard Dawkins)
Terdapat juga pendapat yang saya temui dalam "The Biology of Selfishness" yang mengatakan sifat pentingkan diri sebagai naluri kemandirian hanya sekadar alasan bagi menutup aspek 'hitam' tersebut.

Sedang perdebatan tersebut masih belum menemui jawapan mutlak, bagaimana pula pendapat anda? Tambahan pula kini kita dihujani media dan sumber-sumber yang semakin mengenepikan itsar. Lihat saja drama-drama di televisyen, pertelingkahan di sana-sini. Pergelutan kuasa kian berleluasa, bahkan memutuskan silaturahim. Isu perebutan harta pusaka juga tidak lekang dari telinga. Lebih menakutkan lagi, terdapat juga buku-buku yang menyamarkan rasa pentingkan diri atas dakwaan 'mengutamakan kebahagiaan sendiri terlebih dahulu', terutamanya novel-novel cinta. Sambil menabur benih cinta, klausa-klausa sebegini sering disalah anggap sebagai nasihat motivasi. 

Sesungguhnya nilai mencorakkan manusia, manusia mencorakkan masyarakat, dan masyarakat mencorakkan tamadun. Sifat dan siapa anda pada hari esok akan menentukan masa depan negara, bahkan dunia. Bagaimanakah suasana 50 tahun akan datang? Adakah ketamadunan manusia hidup sejahtera, atau penuh dengan tikaman dari belakang. Orang tua-tua sering menyebut : cerminlah diri sendiri. Maka, melihat refleksi di sebalik cermin itsar, siapakah anda?